Related Posts with Thumbnails

Monday, November 9, 2009

DARI HARAKAH : Surat terbuka buat YAB Perdana Menteri Malaysia



PDF | Print | E-mail
http://kickdefella.wordpress.com

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,

Bagi pihak saya dan keluarga saya, izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas persetujuan yang telah dibuat oleh YAB Dato’ Seri untuk memberikan kepada rakyat Kelantan wang bagi mengantikan aktiviti eksploitasi petroleum di blok PM301 di pesisir pantai Negeri Kelantan.

Walaupun suara saya tidak layak mewakili rakyat Negeri Kelantan tetapi saya yakin lebih dari separuh rakyat negeri ini menolak pendirian dan kepentingan politik mereka, secara jelas amat gembira dengan pengumuman yang dibuat oleh YAB Dato’ Seri di Dewan Rakyat tempoh hari. Bulan atau Dacing, Wang Ehsan atau Wang Royalti, itu semua politik bagi kami.

Apa yang bukan politik ialah menerusi pengumuman itu, YAB Dato’ Seri telah membuat satu pengakuan rasmi bahawa ada aktiviti ekploitasi petroleum di blok PM301. Kami berharap dalam sedikit masa lagi, akan ada pula pengesahan bahawa adanya aktiviti eksploitasi di blok PM302. Seperti yang saya dimaklumkan blok PM301 dan PM302 akan semakin rancak dieskploit bermula 2011.

MAP EXPLORE AND EXPLOIT PM301-302

Gambarajah 1 (Peta Blok PM301 & PM302)

MAP East Coast of MalaysiaEXPLORE AND EXPLOIT2009

Gambarajah 2 (Peta Aktiviti Petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia)

Yang Berhormat Menteri-Menteri sebelum ini terus menafikan kewujudan ini samada di luar atau di dalam Dewan Rakyat yang mulia itu.

Tahniah YAB Dato’ Seri kerana memperkasakan wasiat dan falsafah yang dipesakakan dari kepimpinan Allahyarham Ayahanda YAB Dato’ Seri sendiri.

Saya juga yakin, sebahagian besar rakyat negeri ini, seperti saya dan keluarga saya tidak peduli bagaimana wang tersebut disalurkan. Melalui Kerajaan Negeri atau dikawal terus oleh Kerajaan Pusat, tidak penting. Yang pentingnya ia perlu mencapai sasaran yang digariskan oleh YAB Dato’ Seri iaitu bagi menjana pembangunan negeri dan membasmi kemiskinan. Dan amat juga penting, pihak yang disalurkan kewangan itu dapat menggunakan wang tersebut dengan penuh kejujuran dan memastikan semaksima mungkin dapat dirasai terus oleh rakyat dan bukan oleh pemaju, konsultan dan lain-lain pihak ketiga.

Alangkah baiknya jika sebagai permulaannya sebuah jaringan lebuhraya dua lorong dapat dibina sebagai penyambung jambatan kasih di antara anak-anak di kota-kota besar dengan ayah bonda di kampung halaman.

YAB Perdana Menteri, anak Kelantan ramai merantau mencari rezeki dan mereka terkenal dengan kesetiaan kepada kampung halaman. Setiap kali berpeluang untuk pulang, mereka pasti mengambil kesempatan ini. Bagaimanapun, walaupun jarak menerusi jalanraya yang sedia ada walau tidak lebih 500 kilometer, mereka terpaksa mengambil masa tujuh ke sembilan jam atau pada musim perayaan memakan masa 12 ke 20 jam untuk tiba ke destinasi. Lebih dari itu, mereka terpaksa menyabung nyawa mereka dan keluarga mereka kerana kualiti jalan yang amat buruk dan merbahaya kepada tubuh yang letih akibat perjalanan yang amat lama masanya.

Alangkah indahnya jika perjalanan mereka hanya mengambil masa 5 jam sahaja dan lebih dari itu keselamatan mereka terjamin dengan kualiti jaringan jalan yang baik. Alangkah baiknya jika apa yang Dato’ Seri gelarkan sebagai ‘Wang Ehsan’ ini akan bermula dengan lebuhraya kasih yang merapatkan jarak yang tua dengan yang muda.

YAB Dato’ Seri, rakyat Kelantan sudah biasa dengan diskriminasi politik yang membawa kepada sebahagian mereka dipinggir dalam kenaikan pangkat, hak memperoleh tender dan projek dan juga biasiswa pengajian kerana kecurigaan disebabkan warna hijau dan biru. Akibatnya, mereka amat sensitif dalam tuntutan hak mereka.

Saya mengambil kesempatan ini bukan untuk mempertikaikan keikhlasan pemberian apa yang Dato’ Seri gelarkan Wang Ehsan tetapi meneliti semula penjelasan yang Dato’ Seri buat di Dewan Rakyat berhubung kesahihan pembayaran royalti petroleum. Dakwa Dato’ Seri, seperti Terengganu, Kelantan tidak berhak menerima royalti kerana tiada aktiviti eksploitasi petroleum di dalam jarak 3 batu nautikal dari pantai Kelantan. Apa yang saya faham, maksud Dato’ Seri ialah, seperti Terengganu, aktiviti eksploitasi petroleum di Kelantan ialah di luar apa yang disebut perairan wilayah atau territorial waters.

Menurut wikipedia, perairan wilayah didefinisikan sebagai petikan dibawah.

Territorial Water

Lampiran 1 (petikan wikipedia)

Wiki Graphic

Gambarajah 3 (ehsan wikipedia)

Pertikaian tentang aktiviti eksploitasi petroleum Kelantan diluar perairan wilayah sering digunapakai oleh para Menteri didalam menafikan hak Kelantan.

Saya cuba mendalami tafsiran berhubung 3 batu nautikal mengikut perundangan Malaysia kerana mengikut Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974 yang memberi hak ekslusif kepada PETRONAS tidak menyebut langsung hal ini.

Saya menemui ungkapan 3 batu nautikal di dalam Akta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1969 yang seperti petikan di bawah:

EO 1

Lampiran 2 (Ordinan Darurat – Artikel 3 (1))

EO2

Lampiran 3 (Ordinan Darurat – Artikel 3 (2))

EO3

Lampiran 4 (Ordinan Darurat – Artikel 6)

Berdasarkan konteks perbincangan kita, Akta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969, menyebut, bagi tujuan Akta 83 Pelantar Benua 1966 dan Akta 95 Perlombongan Petroleum 1966 perairan wilayah bagi sesebuah negeri hendaklah dirujuk sebagai kawasan tidak melebihi 3 batu nautikal dari kedudukan air surut. Oleh yang demikian, apabila pihak Kerajaan Pusat merujuk kepada jarak 3 batu nautikal kesimpulan peribadi saya adalah pihak kerajaan merujuk kepada apa yang diterjemahkan di dalam akta ini.

Oleh yang demikian ia perlulah dibaca bersama dengan Akta 83 dan Akta 95.

Bagaimanapun, ketiga-tiga akta yang dirujuk digubal sebelum akta yang dipanggil sebagai Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974 digubal. Akta 144 ialah sebuah akta yang mewujudkan PETRONAS dan memberi hak ekslusif kepada PETRONAS untuk aktiviti carigali dan ekspolitasi di dalam Perairan Malaysia.

Sebelum Akta 144, menurut Akta 95 pihak berkuasa petroleum bagi perlombongan petroleum di daratan adalah Raja atau Yang di-Pertuan Negeri bagi negeri-negeri berkenaan, manakala pihak berkuasa bagi kawasan luar pesisir pantai ialah Yang di-Pertuan Agong.

95-4

Lampiran 5 (Seksyen 4 (2) &(3) Akta 95 Perlombongan Petroleum 1966)

Apa yang dimaksudkan sebagai daratan dan kawasan tanah di luar pesisir menurut Akta 95 adalah:

95-2

Lampiran 6 (Seksyen 2 Akta 95 Perlombongan Pertoleum 1966)

Akta 83 pula menafsirkan pelantar benua seperti berikut:

83-1

Lampiran 6 (Seksyen 2 Akta 83 Pelantar Benua 1966)

Dan untuk tujuan Akta 83 ini had perairan Wilayah Negeri seperti yang dimaksudkan bolehlah ditafsirkan mengikut Artikel 2 (3) Akta Ordinan Darurat (lampiran 3) yang menjelaskan laut perairan negeri ialah kawasan 3 batu nautikal yang disebut-sebut itu.

Berdasarkan apa yang tercatat diatas, jelaslah bahawa pada suatu ketika dahulu iaitu sebelum Akta 144 digubal, segala urusan pengurusan, pentadbiran dang pengkuatkuasaan di luar dari 3 batu nautikal dari pantai adalah diluar pihak berkuasa sesebuah negeri. Apakah ini melucutkan hak negeri ke atas perairan diluar 3 batu nautikal itu?

YAB Dato’ Seri,

Pada tahun 1974, Akta 144 digubal berdasarkan kebijaksanaan tokoh-tokoh tempatan dan diterajui oleh Allahyarham Ayahanda Dato’ Seri sendiri. Suka saya mengajak YAB Dato’ Seri merujuk lampiran di bawah:

144-5

Lampiran 7 (Seksyen 8 Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974)

Dalam erti kata lain, setelah penubuhan PETRONAS, segala peraturan, undang-undang dan tafsiran yang terdapat didalam Akta 95 sudah tidak terpakai melainkan seksyen 14 yang saya lampirkan di bawah:

95-6

Lampiran 8 (Seksyen 144 Akta 95 Perlombongan Petroleum 1969)

Pada pendirian saya, Akta 144 adalah sebuah akta yang digubal dengan penuh semangat federalisme terutamanya setelah beberapa kali dirujuk dan dibincangkan dengan pimpinan-pimpinan politik dari Malaysia Timur yang ketika itu sudah terkenal dengan hasil petroleumnya.

144 -1

Lampiran 9 (Seksyen 2(1) Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974)

144-2

Lampiran 10 (Seksyen 2 (2) Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974)

Setelah membatalkan kesemua kecuali 1 seksyen sahaja di dalam Akta 95, Akta 144 memberi kuasa penuh kepada PETRONAS secara ekslusif bagi aktiviti petroleum di Malaysia bagaimanapun ianya hanya setelah suatu surat cara ditandatangani.

Apabila Akta 144 membatalkan hampir kesemua tafsiran dan seksyen kecuali seksyen 14 Akta 95 dengan itu hubungan antara Akta 144 dan Akta 83 tidak diwujudkan sama sekali. Tanpa hubungan di antara Akta 144 dengan Akta 83, saya tidak melihat bagaimana Akta Ordinan Darurat 1969 digunapakai dalam menafsirkan perairan wilayah.

YAB Dato’ Seri,

Akta 144 jelas menyebut di dalam seksyen 2(1) yang antara lainnya saya petik seperti berikut,

“…samada di pantai atau di luar pantai Malaysia”

Kalimah di pantai ialah onshore dan di luar pantai ialah offshore mengikut naskhah asal di dalam Bahasa Inggeris. Kalimah perairan wilayah langsung tidak tercatat walau sebahagian pun di dalam terjemahan Bahasa Melayu. Perkataan territory atau waters atau sea pula langsung tidak terdapat langsung di dalam dokumen asal Bahasa Inggeris.

Oleh yang demikian timbul kemusykilan apabila YAB Dato’ Seri berpendapat royalti minyak tidak patut dibayar kepada Kerajaan Negeri Kelantan seperti yang termaktub dalam surat cara yang ditandatangani pada 9 Mei 1975.

Sukacita saya melihat tafsiran pantai dan luar pantai di dalam Akta 144 berdasarkan Artikel 1 (2) dan (3) Perlembagaan Persekutuan seperti di bawah,

Artikel 1 (2)

Negeri-negeri Persekutuan adalah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Artikel 1 (3)

Bergantung kepada klausa (4) Wilayah bagi setiap negeri tersebut dalam klausa (2) adalah seperti wujudnya sebelum hari Malaysia.

YAB Dato’ Seri,

DYMM Almarhum Sultan Kelantan menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu di King House pada 21 Januari 1948. Kelantan menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Januari 1948 bersama 8 buah Negeri Melayu lain dan 2 penempatan British iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Dengan itu Persekutuan Tanah Melayu secara rasminya tertubuh pada 1 Februari 1948.

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu memansuhkan Malayan Union dan menggabungkan negeri-negeri Melayu buat pertama kalinya dan ia juga mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu terhadap wilayah yang dikuasainya sebelum Malayan Union dilaksanakan.

Menerusi perjanjian pada 21 Januari itu, Kelantan menjadi Negeri Naungan British dan bukan Negeri Jajahan British seperti Pulau Pinang dan Melaka. Undang-undang antarabangsa menafsirkan negeri naungan sebagai,

“merupakan satu wilayah autonomi yang dilindung secara diplomatik atau pun ketenteraan daripada serangan pihak ketiga oleh satu negara atau entiti yang lebih kuat. Sebagai pertukaran untuk ini, negeri naungan biasanya menerima kewajiban yang dikhususkan kepadanya, yang mungkin mempunyai berbeza-beza di antara satu negeri naungan dengan negeri naungan yang lain, bergantung kepada perhubungan sebenar mereka dengan negara yang melindungi mereka. Walau bagaimanapun, negeri naungan mengekalkan satu kedaulatan yang lengkap dan masih satu negara di bawah undang-undang antarabangsa.”

Kelantan merdeka di dalam Persekutuan Tanah Melayu bersama 8 Negeri Melayu dan 2 wilayah jajahan British pada 31 Ogos 1957. Wilayah Kelantan menurut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ialah seperti sehari sebelum Persekutuan Tanah Melayu merdeka dan begitulah seterusnya apabila ianya menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Memandangkan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin wilayah setiap negeri yang membentuk persekutuan kekal seperti sebelum tertubuhnya persekutuan, maka tafsiran perairan wilayah sejauh 3 batu nautikal hanyalah merujuk kepada kuasa-kuasa pentadbiran dan pihak-pihak berkuasa negeri. Ia tidak membentuk satu persempadanan baru wilayah bagi setiap negeri.

Dan pada pemahaman saya, ia tidak sekali-kali melucutkan kedaulatan DYMM Raja-Raja Melayu dan dengan itu ia tidak melucutkan hak negeri ke atas perairan diluar 3 batu nautikal itu dari pantai.

YAB Dato’ Seri,

Saya bukan ahli dan jauh sekali pakar dalam jurusan undang-undang tetapi saya merasakan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia adalah jelas dan mudah difahami tanpa sebarang niat untuk menipu atau mengaburi pemahaman mana-mana rakyat Malaysia. Lantaran ia digubal untuk rakyat menerusi majlis perundangan yang diangkat oleh rakyat, ianya juga haruslah ditafsirkan sebagaimana majoriti rakyat menafsirkannya.

Memang benar, ada undang-undang yang digubal untuk tujuan diskriminasi iaitu memisahkan antara rakyat yang kita istilahkan sebagai melakukan kejahatan dengan yang baik, contohnya.

Tetapi Akta 144 yang digubal sewaktu Allahyarham Ayahanda YAB Dato’ Seri menjawat jawatan yang Dato’ Seri sandang sekarang adalah satu undang-undang yang tidak bertujuan untuk mendiskriminasikan mana-mana pihak, pentadbir atau wilayah. Ia adalah satu undang-undang yang tinggi semangat federalismenya. Memberi hak kepada yang berhak disamping yang berada berkongsi dengan yang tiada. Hati gajah sama di lapah, hati kuman sama dicecah. Begitulah cintanya Allahyarham kepada bumi tumpah darahnya. Begitulah hebatnya pusaka yang ditinggalkan dan kini diwarisi oleh anakandanya.

YAB Dato’ Seri,

Atas semangat 1 Malaysia saya merayu pertimbangan semula oleh Kerajaan Pusat di atas tuntutan Kerajaan Negeri Kelantan berhubung pembayaran 5% royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri. Usah dibiarkan jurang pemisah antara kita semakin menebal hari ke sehari. Usah dibiar tersebar fitnah bahawa Bulan dan Dacing adalah penjenayah yang mengakibatkan rakyat menjadi derita.

Walaupun sistem demokrasi kita warisi daripada penjajah tetapi sistem itu terus kita junjung dan sanjung. Datuk dan ayah kita berjuang bermati-matian menentang pengganas komunis kerana mempertahankan sistem demokrasi. Alhamdullilah, sehingga ke hari ini setiap kerajaan, baik di negeri atau di pusat dalam Persekutuan Malaysia ditubuhkan menerusi sistem tersebut.

YAB Dato’ Seri, sambutlah salam saya dan rakyat Kelantan. Binalah lebuhraya kasih antara kita.

Sekian terima kasih.

Syed Azidi AlBukhary

Kampung Demit, Kelantan

0 comments:

Post a Comment

 

TUNGGU TEDUH DULU Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template